Jom tengok 13 filem menarik yang ditayangkan di pawagam bulan Mac ini. Ada tiga filem tempatan yang menarik untuk ditonton - Bulan Dan Pria Terhebat, Roh, dan Escape.

Guns Akimbo
Tarikh Tayangan: 5 Mac 2020
Genre: Aksi / Komedi
Pelakon: Daniel Radcliffe, Natasha Liu Bordizzo, Samara Weaving, Mark Rowley
Sinopsis : Ketika mabuk, Miles seorang pembuat permainan video yang gemar membuat `kacau` di internet, telah mengkritik hebat penyiaran pertandingan pertarungan maut haram oleh sebuah kelab yang dipanggil Skizm. Pertandingan itu disiarkan secara langsung kepada jutaan penonton yang gemar menyaksikan orang tak dikenali bertarung hingga mati. Kritikan itu telah mencetuskan kemarahan Riktor, dalang di sebalik semuanya, yang kemudian mahu Miles terlibat sebagai salah seorang peserta pertandingan itu. Mimpi ngeri Miles menjadi kenyataan apabila dia terbangun dan mendapati senjata berat dipasang di tulangnya dan kini dia perlu berdepan dengan lawan pertamanya, iaitu pembunuh bernama Nix. Dia berjaya melarikan diri daripada Nix tetapi apabila Nova, bekas kekasih yang masih disayanginya, telah diculik, dia perlu berhenti melarikan diri dan bertarung demi menyelamatkan wanita itu.

The Invisible Man
Tarikh Tayangan: 5 Mac 2020
Genre: Ngeri
Pelakon: Elisabeth Moss, Oliver Jackson-Cohen, Aldis Hodge, Storm Reid, Harriet Dyer
Sinopsis : Dengan bantuan adiknya serta rakan mereka sejak kecil, Cecilia Kass menyembunyikan diri daripada teman lelakinya, seorang saintis kaya dan bijak namun kuat mengongkong dan bersikap kasar. Cecilia cuba mengubah hidupnya ke arah yang lebih baik selepas berpisah dengan teman lelakinya itu. Lelaki itu kemudiannya membunuh diri dan meninggalkan sebahagian besar hartanya kepada Cecilia. Bagaimanapun, dia mula mengesyaki bahawa lelaki itu sebenarnya masih hidup berikutan berlakunya kejadian-kejadian menakutkan sehingga mengancam nyawa orang-orang yang dia sayangi. Dia kini perlu membuktikan bahawa dirinya diburu seseorang yang tidak boleh dilihat.

Onward
Tarikh Tayangan: 5 Mac 2020
Genre: Animasi
Pelakon: Tom Holland, Chris Pratt, Julia Louis-Dreyfus, Octavia Spencer
Sinopsis : Ian dan Barley Lightfoot merupakan adik beradik bunian yang tinggal di pinggir bandar sebuah dunia fantasi, di mana manusia tidak wujud. Sebaliknya ia didiami oleh makhluk seperti bunian, troll, ikan duyung dan macam-macam lagi. Suatu hari, kedua-dua remaja itu memulakan pengembaraan demi meneroka jika masih ada lagi kuasa magik di dunia. Mereka berharap untuk menggunakan kuasa magik bagi meluangkan masa sehari bersama bapa mereka, yang meninggal ketika mereka masih kecil. Apabila salah seorang daripada mereka cuba menghidupkan semula bapa mereka menggunakan satu sihir, hanya bahagian bawah badan bapa mereka yang muncul. Memandangkan sihir itu hanya bertahan selama 24 jam, mereka perlu mencari jalan untuk mengembalikan bahagian atas badan bapa mereka sebelum terlambat.

Bloodshot
Tarikh Tayangan: 12 Mac 2020
Genre: Aksi / Drama / Fantasi
Pelakon: Vin Diesel, Eiza González, Sam Heughan, Toby Kebbell, Guy Pearce
Sinopsis : Seorang askar Marin, Ray Garrison, mendapati dirinya kini mempunyai kuasa luar biasa selepas dihidupkan semula oleh pasukan saintis rahsia, RST, selepas dia dan isterinya dibunuh. Dengan teknologi canggih nanoteknologi di dalam uratnya, dia kini menjadi mesin pembunuh biotek yang lebih kuat bernama Bloodshot, yang mampu pulih secepat mungkin. Dia tidak dapat ingat masa lampau pada mulanya tetapi apabila memorinya kembali, dia meloloskan diri dari fasiliti itu dan memburu orang yang membunuhnya dan isterinya. Bagaimanapun, dia mendapati sesuatu tentang konspirasi ini.

Bulan Dan Pria Terhebat
Tarikh Tayangan: 12 Mac 2020
Genre: Aksi / Komedi
Pelakon: Zizan Razak, Zahirah MacWilson, Khir Rahman, Bell Ngasri, Maya Karin
Sinopsis: Setelah Melati diculik sindiket perdagangan manusia yang diketuai oleh Ricky, Bulan, seorang pelatih pasukan khas dari Indonesia, nekad untuk mencari semula adiknya di Malaysia. Dia kemudiannya bertemu dengan Haris, seorang pemandu e-hailing. Selepas mendapat tahu tentang masalah Bulan, Haris menawarkan diri untuk membantunya. Walaubagaimanapun, mereka kini berdepan bahaya apabila Ricky dan pembantunya Agus telah menghantar pembunuh upahan bernama Tony untuk memburu dan membunuh mereka.

Trolls World Tour
Tarikh Tayangan: 12 Mac 2020
Genre: Animasi / Kekeluargaan
Pelakon: Anna Kendrick, Justin Timberlake, J Balvin, Rachel Bloom, Flula Borg, Kelly Clarkson, James Corden, Ozzy Osbourne, Anderson Paak, George Clinton, Mary J. Blige
Sinopsis : Sambungan filem "Trolls" ini berkisarkan tentang Queen Poppy dan Branch yang menemui beberapa dunia Trolls yang baharu. Setiap satu daripadanya mempunyai genre muzik yang berbeza. Namun satu ancaman misteri menyebabkan Poppy, Branch dan rakan-rakan mereka perlu menjelajah ke tempat baharu demi menyatukan semua Trolls untuk menentang ancaman tersebut.

My Spy
Tarikh Tayangan: 12 Mac 2020
Genre: Aksi / Komedi
Pelakon: Dave Bautista, Chloe Coleman, Kristen Schaal, Ken Jeong
Sinopsis : Seorang pekerja CIA bernama JJ telah diturunkan pangkat dan terpaksa menjalankan operasi pemantauan rutin atas keluarga Sophie. Bagaimanapun, gadis pintar teknologi yang berusia 9 tahun itu menjumpai kamera-kamera tersembunyi di dalam rumahnya dan berjaya mengesan di mana operasi itu dijalankan. Setelah mendapat tahu tentang rahsia perisik itu, dia cuba memujuknya untuk mengajar cara menjadi seorang perisik dengan balasan tidak akan mendedahkan penyamarannya. Walau enggan pada mulanya, perisik itu kemudiannya mengalah dengan pesona dan kepintaran gadis itu.

I Still Believe
Tarikh Tayangan: 19 Mac 2020
Genre: Drama / Romantik
Pelakon: KJ Apa, Britt Robertson, Melissa Roxburgh, Shania Twain, Gary Sinise
Sinopsis: Sebuah filem biografi yang sama judul dengan sebuah lagu nyanyian bintang muzik Kristian, Jeremy Camp, yang memaparkan kisah cinta bersama isteri pertamanya, Melissa. Biarpun menyedari hidup Melissa tidak lama kerana menghidap kanser ovari, Jeremy masih nekad untuk mengahwininya. Melissa meninggal dunia selepas empat bulan setelah mereka berkahwin. Filem ini turut menceritakan kehidupan Jeremy ketika remaja, perjalanannya sebagai seorang penyanyi terkenal dan pertemuan dengan isteri keduanya, Adrienne.

A Quiet Place Part II
Tarikh Tayangan: 19 Mac 2020
Genre: Seram / Ngeri
Pelakon: Emily Blunt, Cillian Murphy, Millicent Simmonds, Noah Jupe, Djimon Hounsou
Sinopsis: Kesinambungan kepada filem "A Quiet Place" (2018), di mana ahli keluarga Abbott yang terselamat berjuang untuk terus hidup selepas situasi ngeri yang berlaku di rumah mereka. Kini mereka meneruskan hidup mereka dengan mengembara ke dunia luar. Dalam pada mereka meneruskan perjalanan tanpa hala tuju yang tertentu, mereka turut mendapati kali ini terdapat ancaman lain yang menanti mereka, selain makhluk asing yang memburu menggunakan deria bunyi.

Kaiji: Final Game
Tarikh Tayangan: 19 Mac 2020
Genre: Suspens / Ngeri
Pelakon: Tatsuya Fujiwara, Sota Fukushi, Nagisa Sekimizu, Mackenyu Arata
Sinopsis: Kaiji bergelut untuk menyara kehidupannya, dan sering berfikir jika dia mempunyai wang mencukupi untuk membeli minuman keras. Dia berasa marah apabila mendapati harga minuman keras semakin meningkat. Suatu hari, dia mendapat tahu bekas ketua kem buruh bawah tanahnya, Otsuki, telah diangkat sebagai Presiden syarikat Teiai yang berkuasa selepas memenangi pertandingan judi. Otsuki kemudiannya memperkenalkan Kaiji kepada "Babel no Tou", sebuah permainan berisiko yang memberi peluang untuk menjadi kaya. Dia turut diperkenalkan kepada tiga permainan lain, "Saigo no Shinpan", "Dream Jump" dan "Golden Janken", yang mana semuanya mempunyai situasi hidup dan mati. Namun Kaiji nekad untuk bermain.

Roh
Tarikh Tayangan: 19 Mac 2020
Pelakon: Farah Ahmad, Mhia Farhana, Harith Haziq, Namron, Junainah
Sinopsis: Berlatarbelakangkan zaman peperangan, di mana tinggal sebuah keluarga daif di pinggir hutan. Mereka kemudiannya didatangi seorang kanak-kanak perempuan misteri. Kejadian-kejadian aneh mula menghantui mereka selepas kanak-kanak itu meramalkan sesuatu yang ngeri.

Escape
Tarikh Tayangan: 26 Mac 2020
Genre: Ngeri
Pelakon: Kamal Adli, Elizabeth Tan, Amar Asyraf, Zamarul Hisham, Jalaluddin Hassan, Riz Amin, Jue Aziz, Pablo Amirul, Fiza Fukazawa
Sinopsis: Adam terpaksa mendedahkan lokasi cip peranti senjata yang diseludupnya kepada pihak berkuasa apabila dia dituduh sebagai pengganas dan dikurung di dalam sebuah bilik misteri. Malangnya, dia mendapati pihak berkuasa itu sebenarnya adalah kumpulan pengganas yang mempunyai rancangan jahat. Walaupun tidak mengingati apa-apa kerana mengalami amnesia, kini Adam perlu mencari jalan untuk membebaskan diri dari bilik itu dan menyelamatkan dunia sebelum terlambat.

Mulan
Tarikh Tayangan: 26 Mac 2020
Genre: Pengembaraan / Drama / Kekeluargaan
Pelakon: Crystal Liu Yifei, Donnie Yen, Jason Scott Lee, Yoson An, Gong Li, Jet Li
Sinopsis : Adapatasi dari cerita lagenda mengenai pahlawan wanita Hua Mulan. Dia telah menyamar sebagai lelaki supaya dia dapat mengambil alih tempat bapanya dalam tentera.